Tuesday, May 21, 2013

Jig Ringan Semudah A,B,C

Jigging ringan kian popular di Malaysia
Oleh Zulhilmi Hat
hilmi@bharian.com.my
BAGI pemancing yang merasai kudrat sebenar ikan boleh mencuba kaedah jigging ringan atau light jigging yang popular di Jepun dan kini berkembang pesat di kalangan pemancing negara ini.
Tangkapan menakjubkan jika menggunakan kaedah ringan
Ikan sasaran untuk kaedah ini iaitu gerepoh (GT), jemuduk, kerapu, sagai, ebek dan cencaru kuda yang mudah didapati di perairan Kuantan (Pahang), Kelantan dan Pulau Sembilan (Perak). Kaedah yang memerlukan umpan besi disemat kata kail sebagai taruhan, jigging ringan memberikan keseronokan tersendiri ketika umpan diunjun kemudian disentap ikan yang akhirnya aksi pertarungan berlaku.
Ebek paling suka besi jig bersaiz mikro. Lagi menarik memnambahkan Flash atau plastik berwarna warni pada mata kail
Namun begitu, nampak seperti mudah tetapi daya stamina pemancing perlu utuh jika mahu berkecimpung dengan kaedah ini di mana teknik mengunjun besi pada kedalaman laut 20-40 meter mampu membuatkan pemancing cepat letih.
Jemuduk yang berjaya dipujuk dengan besi jig.
Pemancing dari Kelantan, Hanif Bachik, selaku pemancing yang gemar dengan kaedah jigging ringan mengakui beliau begitu obses dengan kaedah ini sehinggakan sanggup mengumpul set memancing ringan dan besi jig semata-mata memburu ikan ebek, sagai dan tenggiri di perairan Kelantan. Beliau yang dihubungi wartawan Joran memberikan beberapa tip-tip menarik untuk dikongsikan bersama pembaca sisipan akhbar ini dan berikut adalah cadangan Hanif mengenai penyediaan set jigging ringan.
1.Kekili
Penyediaan kekili sama ada menegak dan mendatar jenis bebola besi tahan karat boleh digunakan tetapi mestilah bersaiz 2000-3000 atau mempunyai gegelung dalam yang boleh memuatkan tali 100-150 meter atau talaan ratio 5;1 -7:1 mengikut kesesuaian stamina anda. Sistem drag perlu mencecah sehingga 4-10 kilogram (kg) dengan berat kekili tidak lebih 500 gram (g).
2. Joran
Cadangan joran jenis karbon untuk kaedah jigging ringan kerana keupayaannya menahan kekangan ikan disamping memberikan ‘kuasa tambahan’ ketika kita mengepam mangsa hingga ke permukaan. Joran berkekuatan PE 0.2-1.3, 0.5-1.3 sudah memadai untuk aksi kelas ringan ini. Panjang joran sekitar 5’4, 5’8 dan 6’0 disifatkan terbaik tatkala melihat aksi parabolik diasak mangsa. Joran panjang akan melambatkan ikan untuk tarik ke atas sekali gus menjadikan kita mudah penat.
3. Tali
Tali sulam berkekuatan 10-15 paun (lb) (5-7 kg) memadai untuk kelas jigging ringan di laut cetek. Perambut pula jenis halimunan atau florokarbon 30 lb yang kalis calar. Pastikan perambut ditukar dua atau tiga ekor selepas ikan dinaikkan
4. Besi jig dan mata kail, swiwel
Gunakan jig besi kecil berskala 7-30 g mengikut kesesuaian arus air laut. Warna jig pula pilih warna semula jadi seperti warna perak, biru, merah untuk memperdayakan pemangsa yang menyangkakan itu mangsa mereka. Mata kail terdiri dari jenis tahan karat dengan saiz 7/0, 11/10 (saiz bukaan mata kail lebih besar daripada badan jig) . Swiwel atau snap perlu jenis tahan karat dan mampu menahan beban hingga 5-8 kg.
Tip mudah
1. Sentiasa peka dengan perkembangan teknologi pembuatan rod karbon dan kekili berkuasa tinggi
2. Peka kawasan untuk aktiviti jigging
3. Pastikan joran diangkat 45 darjah ketika aktiviti bertarung dan hujung joran diletakkan secara vertikal
4. Pastikan anda tahu kekuatan sistem drag kekili dan joran sebelum membeli.
5. Padankan kesesuaian joran dan kekili anda untuk menjadikan set jigging ringan yang terbaik
6. Padankan besi jig dengan kawasan lubuk pancingan anda.