Thursday, December 29, 2011

Candat sotong SIAM

IKAN tak dapat sotong pun jadilah dan janji kita suka hati,” kata penulis kepada
enam rakan yang mengunjungi perairan Koh Adang, Thailand baru-baru ini.


Bot memancing yang terletak di Pak Barra, Thailand

Walaupun tercalit kekecewaan kerana ikan diimpikan gagal memenuhkan lima kotak ais, sekurang-kurangnya 25 kilogram (kg) sotong torak yang berjaya di candat kami dapat dijadikan lauk untuk keluarga masing-masing.

Kisah perjalanan kami bermula di Jeti Pak Bara, Thailand dengan menaiki bot milik Abang Mat iaitu warga negara Thailand yang mengusahakan khidmat memancing sejak 20 tahun lalu.


Aktiviti memungah barang di Jeti pak Barra

Bot boleh memuatkan seramai 12 pemancing milik beliau sering menjadi pilihan sama ada dari Thailand dan Malaysia.
Ia lengkap cukup dari segi bekalan air mandi dan minum serta mempunyai tandas yang memuaskan.


Bot memancing Siam


Lubuk pertama kami bermula Koh Tarutao yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan dengan kelajuan bot dipandu mencapai 10 hingga 20 knot.
Di lokasi berkenaan, pemancing yang berhasrat memancing di sekitar Koh Adang dan Koh Lipie akan memukat atau mencandat sotong untuk dijadikan umpan memancing ikan jenahak atau kerapu.


Taman Negara Laut Koh Taratou yang mempunyai sotong torak dalam jumlah yang banyak


Selepas menikmati makan malam di atas bot akhirnya, kami tiba di Koh Tarutao kira-kira jam 9 malam. Abang Mat yang mencari lubuk sotong dengan sistem pengesan ikan menghentikan botnya tidak jauh dari pulau sebesar dua padang bola futsal itu.

Tanpa berlengah, awak-awak atau pembantu Abang Mat iaitu Yusof menurunkan sauh yang terletak di depan bot. Pancang besi sepanjang 6 meter dilengkapi tiga lampu dihalakan di permukaan air untuk memikat sotong menghampiri bot.


Hampir 15 pulau atau koh terdapat di perairan Satun antaranya Koh Lipe Koh Bulon, Ko Mook, Koh Ngai, Koh Lanta, Koh Adang, Koh Laoliang, Koh Phi Phi, Koh Bulu, Koh Samuang, Koh Sawang ,Koh Lugoi, Koh Pung, Koh Tong, Koh Hin Sorn, Koh Hin Ngam ,Koh Yang, Koh Samuang, Koh Kra, Koh Talak, Koh Lanja, Koh Sai ,Koh Talu, Koh Lek


Walaupun, keadaan berangin dan diselang-selikan ombak masing-masing yang tidak sabar bergegas mengadap lampu dan menurunkan joran dan koyan pada kedalaman dasar kira-kira 20 meter dengan berumpankan gewang berwarna warni yang menyerupai anak-anak ikan.

Penulis yang mengunjun gewang candat berwarna hijau beberapa kali tidak menunggu masa lama apabila menerima sambaran dari mangsa pertama. Joran aksi ringan sepanjang enam kaki melengkung ringan dilarikan mangsa yang beraksi seolah-olah ikan sedang melarikan diri.


Jenis candat sotong made in Siam

Ketika itu, penulis tidak menunggu lama dan mengarau laju diselang selikan dengan mengangkat hujung joran agar ‘pelukan’ sotong tidak terlepas dari gewang. Akhirnya sotong sepanjang 25 sentimeter berjaya didaratkan dengan jayanya walaupun percikan dakwat hitamnya sedikit terkena pada muka penulis.


Lampu berkuasa tinggi digunakan untuk menarik sotong mendekati bot

Aksi seterusnya bertukar tangan apabila Zabidi yang menggunakan koyan dan gewang berwarna hijau menerima sambaran sama. Kaedah mengunjun dilakukan beliau iaitu membiarkan gewang turun hingga ke dasar dan mengunjun semula ke permukaan berkesan memperdaya kumpulan sotong sedang memburu anak ikan ketika itu.


Zabidi melakukan aktiviti mencandat sejurus lampu penarik sotong dihidupkan.

“Semakin lama memancing, semakin banyak pula sotong timbul seolah-olah semut keluar dari sarang pula makan umpan tipu kita.

“Dalam sejam memancing kita seramai enam orang berjaya memperoleh kira-kira 5kg sotong dengan kaedah mencandat saja. Sotong macam kebulur tengok apa saja yang jatuh pasti kena hentam,” kata Soffan kepada penulis.

Melihatkan keadaan kawanan sotong yang semakin banyak timbul di permukaan air, tekong Abang Mat dan Yusof menyuruh kami menangguh sementara aktiviti mencandat ketika itu.


Hasil daripada Zabidi iaitu sotong torak Siam bersaiz dua jenkal jari

Tanpa banyak bertanya kami mengiyakan dan melihat apa yang dilakukan tekong dan awak-awak itu dan rupa-rupanya mereka sudah bersedia memasang jaring di sepanjang sisi bot untuk memerangkap sotong yang menggila di bawah lampu ketika itu.


Awak-awak atau pembantu tekong sedang menyauk sotong selepas kumpulan itu sedang berlegar dipermukaan air
Apa yang diperhatikan penulis kaedah Abang Mat dan Yusof memukat sotong hampir sama dengan nelayan di negara kita iaitu menyalakan lampu pertama terlebih dulu untuk memikat sotong berhampiran pulau mendekati bot. Kira-kira dua jam iaitu sotong mula menampakkan diri lampu pertama tadi ditutup dan dibuka lampu kedua yang sedikit malap.


Giliran Abg Li mencandat selepas aktiviti pukat dihentikan sementara waktu

Selang beberapa minit lampu ketiga iaitu berwarna merah dibuka dan pada ketika itu kumpulan sotong tiba-tiba timbul berhampiran bot yang seolah-olah menarik mereka timbul di permukaan air.

Pada ketika itu jaring diturunkan di bawah kumpulan sotong dan menjerut semula pukat sebelum menaikkannya di atas bot. (sila lihat video yang disediakan)

“Kebanyakan kaedah terbabit digunakan nelayan dekat Thailand ini dan ke bukan saja berkesan tetapi sotong yang berjaya ditangkap boleh mencapai hingga berpuluh-puluh kilogram dalam masa yang singkat,” kata Abang Mat yang menerangkan secara ringkas kepada kami.


Bidi dan Soffan dengan tangkapan sotong serentak yang menghasilkan dua ekor sekaligus

Kesemua sotong yang berjaya di candat akan disimpan dalam kotak khas dalam bot agar sotong dapat hidup lama untuk digunakan sebagai umpan ikan selama aktiviti memancing empat hari dan tiga malam itu.


Sotong hidup disimpan dalam tong khas sebagai umpan ikan

Aktiviti mencandat kami bersambung semula di lokasi sama pada malam terakhir selepas tekong Abang Mat membuat keputusan untuk mencandat sotong selepas empat hari kami berada di lubuk sekitar Koh Adang tidak mendatangkan tangkapan ikan seperti diidamkan.


Geng Taraktau bergambar kenangan di jeti Pak Barra sejurus tiba


Hasil candat dan aktiviti memukat kami pada malam itu cukup lumayan dan selepas ditimbang berat sotong berjaya ditangkap kami kira-kira 25kg dan cukup untuk dibahagikan untuk tujuh orang pemancing.

tamat

INFO sotong torak




*Sotong ini kebanyakan ditemui di Pantai Timur Semenanjung Malaysia atau perairan timur negara Thailand dan kawasan sekitarnya

*Ketika musim bertelur, sotong ini akan menghampiri pantai dan unjam darat untuk bertelur. Mengikut cerita nelayan, sotong yang ditangkap di kawasan unjam laut bersaiz lebih besar dan panjang.

*Cara menangkap sotong ini iaitu menggunakan cahaya lampu dari jana kuasa dipasang pada waktu malam.

*Terdapat dua cara menangkap sotong ini iaitu menggunakan kaedah ‘serek’ dan mencandat dengan gewang khas yang dihenjut di bawah air.

*Berhati-hati ketika sotong menghampiri permukaan air, ia akan memancutkan air atau dakwat hitam dalam usaha untuk melepaskan diri.

*Perlu diingat jangan sesekali menarik sotong secara lurus menghadap muka. Condong sedikit tali bagi mengelakkan daripada terkena dakwat sotong.

Sunday, December 4, 2011

Review Ringkas: Gewang Eupro Sinking-Bentsinking



Aksi ikan sakit mampu menggoda pemangsa.

Gewang yang ingin dipaparkan joranharian.blogspot.com minggu ini mungkin berbeza sedikit dari gewang biasa dilihat yang mirip ikan biasa.
Bentuknya bengkok seolah-olah gewang tidak sempurna sifatnya adalah satu inovasi yang kreatif dari perekanya yang berfikir di luar kotak fikirannya.
Walaupun apa yang dicuba penulis jenis gewang 'ciplak' boleh ditafsirkan efektif tidak seperti pereka asalnya iaitu Osprey Spirttual Performer (OSP) Bentminnow berbanding gewang dari keluaran Eupro mempunyai aksi setanding dari gewang buatan negara Jepun itu.
Bezanya:


OSP Bentminnow
1. Mahal RM7+.++
2.Jenis terapung
3. Hampir 5 aksi boleh dicuba
4.Terdapat 20 warna
6.Buatan 100% Jepun
7.Terdapat dalam saiz 76mm 86mm
dan 106mm



Eupro bentsinking

1.Murah RM17.00
2.Tenggelam
3.Hampir 5 aksi boleh dicuba
4.Terdapat 5 warna
5.Bahan dari Jepun dan buatan China
6.Terdapat dalam saiz 76mm

Aksi boleh dicuba:





Pengalaman penulis sendiri yang menggunakan gewang Eupro di padang pancing yang terletak di Tasik Biru, Kundang Selangor mendapat hasil iaitu seekor toman bersaiz lengan.

Toman dengan gewang Eupro

caranya: Gewang dikarau laju dan hasilnya seperti 'walk like dog' atas permukaan air
Gewang dikarau sederhana hasilnya sama tetapi di pertengahan air
Gewang dikarau perlahan hasilnya seperti ikan sakit atau lemas.

Target sasaran: Peacock bass, sebarau, toman.
Ulasan: Penulis cukup suka menggunakan gewang ini kerana inovatifnya yang pelik tetapi mujarab. Cepat cari gewang ini di pasaran sebelum habis!!!

tamat.