Thursday, December 3, 2009

Ulat sagu boleh perdaya baung

Umpan tradisional yang berkesan

ULAT Sagu atau ulat Mulung (Rhynchophorus ferruginenus), cukup dikenali oleh penduduk pedalaman negeri Sabah dan Sarawak dan menjadikannya sebagai makanan berprotein tinggi dalam menu harian mereka.
Namun dalam arena memancingnya, ulat ini adalah umpan tradisional yang cukup popular di semenanjung bagi menjerat spesis bermisai air tawar seperti ikan baung dan keli.
Ciri-cirinya iaitu bersaiz ibu jari orang dewasa dan badan gendut berwarna putih serta kepalanya berwarna coklat tua, mudah ditemui di pokok kelapa atau batang sagu (rumbia) yang sudah reput.
Daripada telurnya yang menetas dan membesar menjadi larva kepada kumbang merah ini dikatakan sangat digemari oleh penggemarnya yang sanggup meredah hutan untuk mencari ulat ini.
Cara ulat ini diperoleh iaitu dengan mengopek kayu sagu atau kelapa yang reput dan menjumpainya terletak bersarang di dalamnya. Segelintir penggemar pula menebang terlebih dulu pokok berkenaan kemudian dibiarkan mereput untuk menarik kumbang merah untuk bertelur di dalamnya.
Dalam menu makanan pula, ulat sagu biasanya dimasak, digoreng atau dimakan mentah serta juga dibakar seperti sate. Ulat ini dikatakan halal dimakan. Di Pasar Tamu Serian, ulat ini mudah didapati dengan dijual 20 sen seekor atau RM30 sekilogram.
Menurut kajian yang dibuat ke atasnya, terdapat kira-kira sembilan peratus kandungan protein dalam setiap ekor ulat yang dimakan, selain asid amino dan glutamat. Dalam arena memancing, ulat sagu dicari untuk menjerat ikan baung di sungai yang terletak dalam hutan.
Cara pancingan iaitu turut menggunakan perambut tunggal setengah depa dengan batu ladung hidup. Mata kail bersaiz sepuluh sehingga 12 dicangkuk dari bahagian ekor hingga kepala. Air lendir yang dikeluarkan dari cucukan mata kail ini dikatakan cepat meransang deria bau ikan baung ini untuk memakannya.
Petua untuk menjerat ikan ini iaitu dengan memancing pada waktu malam iaitu membuat balingan di kawasan di sungai yang bereba dan selain itu pada waktu siang, di bawah pokok yang teduh. -Oleh Zulhilmi Hat

No comments: