Monday, February 20, 2012

Udang Galah, Sungai Besar



Oleh Zulhilmi Hat
KEENAKAN isi udang galah (Macrobrachium rosenbergii) yang boleh di masak apa saja jenis masakan menyebabkan penulis tidak teragak-agak mengunjungi Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor selepas diajak rakan iaitu Nasir dari Perodua, Rawang yang menceritakan beliau dengan mudah menaikkan hampir 300 ekor dalam seharian memancing.


TU dia....lokasi udang galah terletak di Sungai Besar, sabak Bernam. Cantik kan.TAPI hati-hati ada sang bedal!!

Berbekalkan tujuh batang joran jenis Ultra ringan (UL) yang sememangnya khas untuk memancing udang ini, kami berdua bergerak ke Sungai Besar dari Rawang yang memakan masa sejam perjalanan.

Bot gentian kaca yang ditempah kami disediakan oleh Wak Karto yang juga nelayan air tawar dekat Sungai Besar yang menyewa bot beliau kepada pemancing udang galah sekitar Lembah Klang.

Bot berkekuatan 15 kuasa kuda dipacu Nasir menuju ke lubuk pertama kami yang dipenuhi deretan pokok jawi yang mempunyai akar terjurai hingga gigi tebing sungai. Keadaan air sungai pagi itu pula seakan-akan air ‘teh o’ berwarna jernih yang selepas diberitakan Wak Karto hujan tidak turun selama seminggu.

Lokasi udang galah hanya terdapat di tebing sungai berbanding tengah. Lihat akar pokok jawi yang berjuntai mencetuskan arca menarik untuk dilihat.

Nasir dengan yakin menambah hasil besar mungkin bakal menjadi milik kami berdua apatah lagi berpeluang menaikkan undang bersaiz besar atau ‘jenggo’ menurut panggilan pemancing tempatan.

Berbekalkan umpan cacing merah (cacing kampung), lokasi bawah pokok jawi menjadi destinasi kami di mana udang banyak bermain di kawasan ini mencari makanan di celah akar pokok jawi itu.

Nasir dengan udang saiz 'kasar'. Lepas dia..dia lepas dia dia lagi..emmm tak tahan.

Nasir yang mahir mengendali bot meletakkannya di sudut bawah pokok dan kemudian menambat pada ranting kayu yang mencecah air agar bot berada pada keadaan tetap.
Tidak berlengah lagi, beliau yang selaku pemancing yang kerap turun memancing di sungai ini saban minggu bergegas menurunkan empat jorannya secara satu persatu dengan berumpankan cacing dan kemudian disusuli penulis.

Rahsia kami memancing dekat Sungai Besar ini menggunakan umpan cacing merah yang kebanyakan boleh ditemui di kebun pisang atau kandang lembu. Cacing merah ini lebih laku berbanding ‘cacing gila’ dan perumpun yang lazimnya digunakan di sungai mempunyai air payau atau masin.

Nie lah caranya memancing udang dekat Sungai Besar, celah-celah pokok yang mempunyai arus tenang


Kaedah memancing di sungai ini perlu menggunakan perambut 6 paun (lb) sepanjang sejengkal yang kemudian dipadankan mata kail khas udang bersaiz nombor tujuh dengan ladung hidup bersaiz nombor empat atau lima.

Lebih kurang tiga minit, joran pertama Nasir digetu mangsa dari bawah air. Perlahan-lahan beliau mengarau joran ke atas agar mata kail tidak tertanggal pada mulut udang dan seekor udang ‘dara’ bersaiz ibu jari dewasa dinaikkan.

Penulis pula tidak menunggu masa lama selepas itu apabila hujung joran melentur perlahan dikarau menghadiahkan udang bersaiz sama.

Yes..giliran PENULIS degan udang saiz idaman!!

Tidak sampai 15 minit dan lima ekor udang dinaikkan dan tiada getuan selepas itu kami kemudian bergerak ke lubuk seterusnya terletak kira-kira 500 meter dari lubuk pertama.

Kali ini ini Nasir bergerak menyusuri bawah pokok jawi berhampiran tebing kerana katanya waktu air bergerak laju kumpulan udang akan menghimpit ke tebing atau bawah pokok supaya tidak dibawa arus ke hilir sungai.

Ikan tapah turut terdapat dalam sungai ini.Bayangkan kalau saiz dewasa!!. udang galah terdapat dalam perut anak tapah ini

Telahan beliau tepat apabila penulis yang menurunkan joran selepas itu berjaya menaikkan udang bersaiz ‘jenggo’ dan diikuti Nasir selepas lima minit joran dilabuhkan.

Di lubuk kedua ini, kami berdua tidak menang tangan melayan tujuh joran di birai bot yang sentiasa melentur apabila digetu udang sedang memakan umpan cacing. Hampir lapan udang galah berjaya dinaikkan dalam lubuk kedua ini tidak termasuk yang terlucut ketika kekili dikarau.

Aktiviti memancing udang hingga ke jam 5 petang kami berdua pada hari tu menghadiahkan kira-kira 2 kilogram (kg) udang galah dan beberapa ekor anak baung yang berkongsi habitat sama.

Saiz sedap dimakan..isinya cukp manis atas faktor sungai belum tercemar.

Menurut Nasir, sekiranya kedatangan kami kena pada waktu dan harinya, berkemungkinan 200 hingga 300 ekor udang galah mudah dipancing dalam Sungai Besar, Sabak Bernam ini.

Nazri dengan udang saiz jenggo hasil menggunakan 'belat' cara penangkapan tradisonal


INFO:


*Lokasi memancing terletak di Sungai Besar Sabak Bernam, Selangor.

*Bot gentian kaca disewa oleh pengusaha bot pada kadar RM80 sehari termasuk minyak
petrol (3 pemancing)

*Umpan terbaik cacing merah (cacing kebun)

*Umpan cacing mesti dipotong sekitar 1 sentimeter (cm) dan disemat tidak melebihi
hujung mata kail

*Kaedah perambut tunggal mata kail udang saiz tujuh, ladung nombor empat dan perambut
6 paun panjang 10cm

*Udang galak memakan umpan ketika air mati.

*Lokasi udang di bawah pokok yang mempunyai reba atau kayu mati.

*Pastikan anda membawa lebih dari dua joran aksi ringan untuk kepuasan maksimum.

Sunday, February 12, 2012

Jadual Pertandingan memancing anjuran Joran Berita Harian 2012




Pertandingan Memancing Anjuran Unit Joran Berita Harian 2012

1. 1 Jan -Pembuka Tirai Tasik Titiwangsa
2. 3-4 Mac - Pra GP Joran, Tasik Puteri Melaka
3.23-24 Mac - Karnival Sauk Sotong LADA, Langkawi Kedah
4. 20-22 April - BOTR Tasik Kenyir, Terengganu
5. 6-7 April - Per. Meman. Tasik Jitra, Kedah
6. 5-6 Mei - GP Joran Pusingan 1, Dungun, Terengganu
7. 2-3 Jun - GP Joran Pusingan 2 Kuala Pahang, Pahang
8. 28 Jun -Per. Memanc. Himpunan Sejuta Belia, Putrajaya
9. 1 Julai - Per. Memanc. Tasik Shah Alam
10. 14-15 Jul - GP Joran Pusingan 3, Lumut Perak
11. 8-9 September -GP Joran Pusingan Akhir, Tanjung Leman , Johor
12. 28-30 September-RPBIC, Rompin, Pahang
13. 6-7 Okktober - Per. Memanc. Tasik Prima Nova. Puchong
14. 8 Disember - Piala Monsoon, Kuala Terengganu.

*tarikh tertakluk kepada pindahan semasa

Thursday, December 29, 2011

Candat sotong SIAM

IKAN tak dapat sotong pun jadilah dan janji kita suka hati,” kata penulis kepada
enam rakan yang mengunjungi perairan Koh Adang, Thailand baru-baru ini.


Bot memancing yang terletak di Pak Barra, Thailand

Walaupun tercalit kekecewaan kerana ikan diimpikan gagal memenuhkan lima kotak ais, sekurang-kurangnya 25 kilogram (kg) sotong torak yang berjaya di candat kami dapat dijadikan lauk untuk keluarga masing-masing.

Kisah perjalanan kami bermula di Jeti Pak Bara, Thailand dengan menaiki bot milik Abang Mat iaitu warga negara Thailand yang mengusahakan khidmat memancing sejak 20 tahun lalu.


Aktiviti memungah barang di Jeti pak Barra

Bot boleh memuatkan seramai 12 pemancing milik beliau sering menjadi pilihan sama ada dari Thailand dan Malaysia.
Ia lengkap cukup dari segi bekalan air mandi dan minum serta mempunyai tandas yang memuaskan.


Bot memancing Siam


Lubuk pertama kami bermula Koh Tarutao yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan dengan kelajuan bot dipandu mencapai 10 hingga 20 knot.
Di lokasi berkenaan, pemancing yang berhasrat memancing di sekitar Koh Adang dan Koh Lipie akan memukat atau mencandat sotong untuk dijadikan umpan memancing ikan jenahak atau kerapu.


Taman Negara Laut Koh Taratou yang mempunyai sotong torak dalam jumlah yang banyak


Selepas menikmati makan malam di atas bot akhirnya, kami tiba di Koh Tarutao kira-kira jam 9 malam. Abang Mat yang mencari lubuk sotong dengan sistem pengesan ikan menghentikan botnya tidak jauh dari pulau sebesar dua padang bola futsal itu.

Tanpa berlengah, awak-awak atau pembantu Abang Mat iaitu Yusof menurunkan sauh yang terletak di depan bot. Pancang besi sepanjang 6 meter dilengkapi tiga lampu dihalakan di permukaan air untuk memikat sotong menghampiri bot.


Hampir 15 pulau atau koh terdapat di perairan Satun antaranya Koh Lipe Koh Bulon, Ko Mook, Koh Ngai, Koh Lanta, Koh Adang, Koh Laoliang, Koh Phi Phi, Koh Bulu, Koh Samuang, Koh Sawang ,Koh Lugoi, Koh Pung, Koh Tong, Koh Hin Sorn, Koh Hin Ngam ,Koh Yang, Koh Samuang, Koh Kra, Koh Talak, Koh Lanja, Koh Sai ,Koh Talu, Koh Lek


Walaupun, keadaan berangin dan diselang-selikan ombak masing-masing yang tidak sabar bergegas mengadap lampu dan menurunkan joran dan koyan pada kedalaman dasar kira-kira 20 meter dengan berumpankan gewang berwarna warni yang menyerupai anak-anak ikan.

Penulis yang mengunjun gewang candat berwarna hijau beberapa kali tidak menunggu masa lama apabila menerima sambaran dari mangsa pertama. Joran aksi ringan sepanjang enam kaki melengkung ringan dilarikan mangsa yang beraksi seolah-olah ikan sedang melarikan diri.


Jenis candat sotong made in Siam

Ketika itu, penulis tidak menunggu lama dan mengarau laju diselang selikan dengan mengangkat hujung joran agar ‘pelukan’ sotong tidak terlepas dari gewang. Akhirnya sotong sepanjang 25 sentimeter berjaya didaratkan dengan jayanya walaupun percikan dakwat hitamnya sedikit terkena pada muka penulis.


Lampu berkuasa tinggi digunakan untuk menarik sotong mendekati bot

Aksi seterusnya bertukar tangan apabila Zabidi yang menggunakan koyan dan gewang berwarna hijau menerima sambaran sama. Kaedah mengunjun dilakukan beliau iaitu membiarkan gewang turun hingga ke dasar dan mengunjun semula ke permukaan berkesan memperdaya kumpulan sotong sedang memburu anak ikan ketika itu.


Zabidi melakukan aktiviti mencandat sejurus lampu penarik sotong dihidupkan.

“Semakin lama memancing, semakin banyak pula sotong timbul seolah-olah semut keluar dari sarang pula makan umpan tipu kita.

“Dalam sejam memancing kita seramai enam orang berjaya memperoleh kira-kira 5kg sotong dengan kaedah mencandat saja. Sotong macam kebulur tengok apa saja yang jatuh pasti kena hentam,” kata Soffan kepada penulis.

Melihatkan keadaan kawanan sotong yang semakin banyak timbul di permukaan air, tekong Abang Mat dan Yusof menyuruh kami menangguh sementara aktiviti mencandat ketika itu.


Hasil daripada Zabidi iaitu sotong torak Siam bersaiz dua jenkal jari

Tanpa banyak bertanya kami mengiyakan dan melihat apa yang dilakukan tekong dan awak-awak itu dan rupa-rupanya mereka sudah bersedia memasang jaring di sepanjang sisi bot untuk memerangkap sotong yang menggila di bawah lampu ketika itu.


Awak-awak atau pembantu tekong sedang menyauk sotong selepas kumpulan itu sedang berlegar dipermukaan air
Apa yang diperhatikan penulis kaedah Abang Mat dan Yusof memukat sotong hampir sama dengan nelayan di negara kita iaitu menyalakan lampu pertama terlebih dulu untuk memikat sotong berhampiran pulau mendekati bot. Kira-kira dua jam iaitu sotong mula menampakkan diri lampu pertama tadi ditutup dan dibuka lampu kedua yang sedikit malap.


Giliran Abg Li mencandat selepas aktiviti pukat dihentikan sementara waktu

Selang beberapa minit lampu ketiga iaitu berwarna merah dibuka dan pada ketika itu kumpulan sotong tiba-tiba timbul berhampiran bot yang seolah-olah menarik mereka timbul di permukaan air.

Pada ketika itu jaring diturunkan di bawah kumpulan sotong dan menjerut semula pukat sebelum menaikkannya di atas bot. (sila lihat video yang disediakan)

“Kebanyakan kaedah terbabit digunakan nelayan dekat Thailand ini dan ke bukan saja berkesan tetapi sotong yang berjaya ditangkap boleh mencapai hingga berpuluh-puluh kilogram dalam masa yang singkat,” kata Abang Mat yang menerangkan secara ringkas kepada kami.


Bidi dan Soffan dengan tangkapan sotong serentak yang menghasilkan dua ekor sekaligus

Kesemua sotong yang berjaya di candat akan disimpan dalam kotak khas dalam bot agar sotong dapat hidup lama untuk digunakan sebagai umpan ikan selama aktiviti memancing empat hari dan tiga malam itu.


Sotong hidup disimpan dalam tong khas sebagai umpan ikan

Aktiviti mencandat kami bersambung semula di lokasi sama pada malam terakhir selepas tekong Abang Mat membuat keputusan untuk mencandat sotong selepas empat hari kami berada di lubuk sekitar Koh Adang tidak mendatangkan tangkapan ikan seperti diidamkan.


Geng Taraktau bergambar kenangan di jeti Pak Barra sejurus tiba


Hasil candat dan aktiviti memukat kami pada malam itu cukup lumayan dan selepas ditimbang berat sotong berjaya ditangkap kami kira-kira 25kg dan cukup untuk dibahagikan untuk tujuh orang pemancing.

tamat

INFO sotong torak




*Sotong ini kebanyakan ditemui di Pantai Timur Semenanjung Malaysia atau perairan timur negara Thailand dan kawasan sekitarnya

*Ketika musim bertelur, sotong ini akan menghampiri pantai dan unjam darat untuk bertelur. Mengikut cerita nelayan, sotong yang ditangkap di kawasan unjam laut bersaiz lebih besar dan panjang.

*Cara menangkap sotong ini iaitu menggunakan cahaya lampu dari jana kuasa dipasang pada waktu malam.

*Terdapat dua cara menangkap sotong ini iaitu menggunakan kaedah ‘serek’ dan mencandat dengan gewang khas yang dihenjut di bawah air.

*Berhati-hati ketika sotong menghampiri permukaan air, ia akan memancutkan air atau dakwat hitam dalam usaha untuk melepaskan diri.

*Perlu diingat jangan sesekali menarik sotong secara lurus menghadap muka. Condong sedikit tali bagi mengelakkan daripada terkena dakwat sotong.

Sunday, December 4, 2011

Review Ringkas: Gewang Eupro Sinking-Bentsinking



Aksi ikan sakit mampu menggoda pemangsa.

Gewang yang ingin dipaparkan joranharian.blogspot.com minggu ini mungkin berbeza sedikit dari gewang biasa dilihat yang mirip ikan biasa.
Bentuknya bengkok seolah-olah gewang tidak sempurna sifatnya adalah satu inovasi yang kreatif dari perekanya yang berfikir di luar kotak fikirannya.
Walaupun apa yang dicuba penulis jenis gewang 'ciplak' boleh ditafsirkan efektif tidak seperti pereka asalnya iaitu Osprey Spirttual Performer (OSP) Bentminnow berbanding gewang dari keluaran Eupro mempunyai aksi setanding dari gewang buatan negara Jepun itu.
Bezanya:


OSP Bentminnow
1. Mahal RM7+.++
2.Jenis terapung
3. Hampir 5 aksi boleh dicuba
4.Terdapat 20 warna
6.Buatan 100% Jepun
7.Terdapat dalam saiz 76mm 86mm
dan 106mm



Eupro bentsinking

1.Murah RM17.00
2.Tenggelam
3.Hampir 5 aksi boleh dicuba
4.Terdapat 5 warna
5.Bahan dari Jepun dan buatan China
6.Terdapat dalam saiz 76mm

Aksi boleh dicuba:





Pengalaman penulis sendiri yang menggunakan gewang Eupro di padang pancing yang terletak di Tasik Biru, Kundang Selangor mendapat hasil iaitu seekor toman bersaiz lengan.

Toman dengan gewang Eupro

caranya: Gewang dikarau laju dan hasilnya seperti 'walk like dog' atas permukaan air
Gewang dikarau sederhana hasilnya sama tetapi di pertengahan air
Gewang dikarau perlahan hasilnya seperti ikan sakit atau lemas.

Target sasaran: Peacock bass, sebarau, toman.
Ulasan: Penulis cukup suka menggunakan gewang ini kerana inovatifnya yang pelik tetapi mujarab. Cepat cari gewang ini di pasaran sebelum habis!!!

tamat.

Wednesday, November 23, 2011

Peacock Bass Lombong Rasa,Rawang

Taktik Pancing Fly dan Spin Fly

KUNJUNGAN penulis bersama rakan MAJALAH KEMBARA KAIL baru-baru ini di Rasa, Rawang membuahkan hampir 4 ekor PB yang bersaiz sebesar tapak tangan dewasa berjaya dipancing kami berempat. Kunjungan ini untuk membuat artikel berkenaan kebanjiran PB sekitar lombong dan tasik sekitar Lembah Klang.
Lombong sebesar padang bola sepak Shah Alam, Selangor itu turut memuatkan pelbagai jenis ikan seperti toman, tilapia, PB, guppy longkang, haruan dan jelawat yang lazimnya membiak sendiri atau sengaja dibuang ke dalam lombong itu.
Teknik digunakan penulis iaitu Pancing Layang (Fly Fishing), Spin Fly yang cukup mujarab menjerat spesies penjajah dari sungai Amazon ini.
Waktu: 7-10 pagi
Ahli: Penulis, Shintoi (Ahzan), Liya dan suaminya.
Tangkapan: 4 ekor Pecock Bass
Jenis Rod : Fly Fishing Ross Worldwide wt5/ reel Redington Surge/ tali terapung/
rod lama (vintage) fiberglass wt3/ reel White Water/ tali jenis
tenggelam
Umpan: : Clouser warna oren dan merah jambu (warna anak toman)

Cara ke sana: Exit Tol Rawang/Bukit Beruntung > Rasa menuju kolam sebelah kanan
(sebelum Taman Rasa)

Jom saksikan gambarnya:


Suasana lombong, Rasa airnya jernih walaupun selepas hujan. PB aktif seawal jam 6.30 pagi sehingga 9 pagi.


Aksi 'boiling' berlaku pada waktu pagi.


Aksi bermula ketika PB sedang Frenzy dan ketika itu fly yang dilayangkan tepat pada kumpulan PB pasti disambut mangsa.


PB dekat kolam Rasa, Rawang tidaklah sebsar PM Sungai Amazon. Tetapi cara membaham umpan cukup kasar. Apabila seekor terkena joran, pasangan mereka akan turut sama mengejar pasanganya hingga tebing air.


Pandangan dekat spesies PB. Warnanya terang menujukkan habitatnya sihat tanpa mengalami kekurangan makanan.



PB dilepaskan kembali untuk kelangsungan hidup. Walaupun namanya ikan penjajah kita perlu hormat binatang yang mempunyai hak untuk hidup. Jangan membuang atas tanah atau simpan saja untuk dijadikan lauk.

Thursday, October 13, 2011

JORAN di iBH


JORAN edisi iBH-TERBAEKK.



Joran Berita Harian
kini melangkah setapak lagi apabila terbit dalam edisi I-PAD yang dikendalikan unit emedia Berita Harian yang berpusat di Bangsar, Kuala Lumpur.
Kini edisi yang hanya diakses melalui I-PAD memasuki edisi ke 16 yang turut menampilkan pelbagai cerita dan berita menarik serta disertakan video sekali.

Walaupun penulis tiada I-PAD, penulis turut berbangga dengan edisi online ini selaku wartawan yang menyumbangkan artikel dalam majalah online ini
Setiap minggu edisi iBH Joran akan dikemas kini dengan memaparkan pengalaman pemancing dan kisah memancing di perairan air tawar dan air masin.

sila muat turun dalam edisi ipada melaui link ini Saksikan segmen Joran: Sebarau Putrajaya dalam edisi ke-16 iBH - Berita Harian. Muat turun aplikasi majalah digital Berita Harian iBH di http://itunes.apple.com/us/app/berita-harian/id445331518?mt=8&ls=1

Wednesday, October 12, 2011

Peralatan Pemancing Beginner (mula)




Peralatan Pemancing Beginner..

INTRO

KADANG-kadang terdengar saja pemancing ‘otai’ yang mencadangkan kita membeli dulu set yang murah sebagai langkah pertama terjebak dengan FF ini.
Kata mereka beli yang murah dulu dan nanti semakin pandai barulah beri yang elok dan selepas itu yang lagi elok dan lagi dan lagi elok.
Difikir kembali...dah beli banyak-banyak memang membazir dan PENULIS berpendapat baik beli set FF yang elok terus dan yang seperti inilah akan mempercepatkan kita belajar dengan lebih baik- pendapat macam ini PENULIS
Dalam pasaran di Malaysia, set FF sukar didapati di kedai memancing dalam negara ini dan ada pun harga lebih tinggi sedikit (cukai, kos++ dan lain2) berbanding dalam kedai online atau ebay. Kelebihan beli online murah sedikit dan banyak pilihan dan tidak pula susah nak tempuh ‘jemm’ dan bayar tol dan tunggu saja barang sampai di depan pintu rumah anda.
Kelemahannya kira tidak boleh langsung nak pegang dan belek atau belajar ilmu atau tips dengan tauke kedai FF di kedai yang kita kunjungi seperti Nick Oii-Tackle Box- sudi memberi tunjuk ajar percuma kepada pelanggan yang berminat dengan FF ini.
Jadi pilih la mana yang lebih senang dan manfaat kepada ANDA

PERALATAN MURAH ATAU MAHAL

TERDAPAT pelbagai jenis jenama FF seperti joran, tali, kekili yang terdapat dalam pasaran ketika ini dan menawarkan kelebihan produk masing-masing untuk menarik ramai pembeli menggunakan produk mereka.
Contoh Ross Worldwide, Sage, Saintific Angler, Fly Marque, Pfluger, Orvis, G Loomis, TICA, Redington dan DLL antara syarikat FF terpengaruh dan digunakan produk mereka oleh pemancing amatur hingga profesional.
link web produk:


1.http://www.rossreels.com
2.http://www.orvis.com/
3.http://www.ticaamerica.com/
4.http://www.scientificanglers.com/
5.http://fish.shimano.com/
6.http://www.redington.com/

Namun kita yang baru nak mula apa yang perlu kita ada?

1. DUIT?
2. MINAT?
3.PERASAAN SABAR?
4.ENJOY?
5.........?

Seperti yang tertulis di atas adalah sangat penting dalam memanjangkan PELAYANG baru untuk terus berkecimpung dalam FF ini. Sekiranya FF sudah sebati dengan JIWA pelayang. Apa yang kita belajar untuk mencapai tahap membanggakan pasti TERLAKSANA.

SET FF
Set FF paling penting untuk beginner adalah dalam bentuk kombo atau bahasa paling mudah semua ada.Apa yang anda perlu cuma RM. Set kombo ini direka tidak terlalu lembut atau keras untuk PELAYANG baru seperti PENULIS dan ANDA.
Cadangan paling sesuai untuk BEGINNER weight- wt5, #5
Antara contoh set KOMBO di pasaran

BERSAMBUNG