Tuesday, May 11, 2010

BOTR Tasik Kenyir ; Kelah Hunter Juara


Juara bergambar kenangan selepas majlis penyampaian hadiah

KUALA BERANG: Hasrat kumpulan Kelah Hunter untuk menambahkan koleksi bot gentian kaca kedua mereka untuk mengajak lebih ramai rakan menyertai ekspedisi memancing sambil santai Boat On The Road (BOTR) tahun depan tercapai apabila mereka dinobatkan juara kumpulan dalam pertandingan itu di Tasik Kenyir Ahad lalu.


Kumpulan terdiri daripada Mohamed Zaini Jidin, 44, Asri Mat Isa 39 dan Mohd Saleh Hamid 37, yang menangkap spesis toman dan berat keseluruhan 8.09 kilogram (kg) turut berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 dan sekaligus mengalahkan 50 kumpulan yang menyertai pertandingan itu.
Ketua kumpulannya Zaini berkata, hadiah wang kemenangan ini akan digunakan untuk membeli bot gentian baru selepas masing-masing bersetuju dengan cadangan yang dibuat mereka itu.


Peserta dalam perjalanan Ke Tasik Kenyir

“Hasrat kami nampaknya dimakbulkan tuhan dengan memberi peluang untuk memenangi pertandingan ini yang dirasakan cukup mencabar kerana bersaing dengan pemancing yang lebih berpengalaman.
“Namun rezeki tak ke mana dan kemenangan berpihak kepada kami. Kumpulan kami cukup berpuas hati dengan penganjuran pertandingan seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah BOTR yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Pangkalan Gawi, dekat sini.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Hamzah Ngah; Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Polis Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, Zawawi Ismail dan Adun Tepuh, Muhammad Ramli Nuh.
Beliau ketika ditanya mengenai pengalaman menyertai acara seumpama ini berkata, perkara paling seronok bagi kumpulannya adalah bermalam di rumah bot dengan kumpulan lain sambil meninjau panorama indah di Sungai Siput dan Mandak pada awal pagi.


Kenderaan 4x4 yang baru tiba di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir

“Sepanjang pertandingan, kumpulan kami seperti berkelah dan bersantai dalam rumah bot dengan menjamu banyak makanan yang disediakan tekong dan apabila tiba masanya untuk memancing kami bersama kumpulan lain berpusu-pusu menghidupkan enjin bot dan mencari lubuk ikan di sekitar dua sungai terbabit. Itulah perkara paling seronok yang kami alami di sini,” katanya.
Zaini menambah hasil daripada aktiviti memancing menggunakan umpan anak keli, mereka berjaya menaikkan beberapa ekor ikan toman juvenil dan tiga ekor toman dewasa.


Peserta Alucast mengiringi VIP dalam acara berlepas

“Kami bertiga menggunakan kaedah pancing dasar dengan berumpankan anak ikan keli yang dikatakan paling terbaik untuk menjerat ikan toman di sini dan kaedah yang dilakukan ternyata berkesan berbanding umpan gewang yang kebanyakan digunakan pemancing lain,” katanya yang turut mengusahakan bot pelancongan di tasik itu.

Kumpulan ini yang masing-masing berasal dari Bagan Serai, Shah Alam dan Kuala Berang sudah mempunyai bot gentian kaca sendiri sepanjang 13 kaki hasil perkongsian mereka yang menjadikan Tasik Kenyir sebagai tempat memancing ketika masa terluang sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, dalam pertandingan ini, tempat kedua disandang kumpulan Sedim dengan tangkapan seekor toman seberat 4.59 kg yang membawa pulang wang tunai RM2,000 dengan hadiah iringan peralatan memancing sumbangan penaja manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan Alucast 6 dengan tangkapan ikan spesis sama seberat 3.18 kg dan membawa pulang wang tunai RM1,000 serta hadiah iringan.

Gambar pemenang BOTR dengan hadiah masing-masing

BOTR yang tamat pada Ahad lepas berjaya menghimpunkan kira-kira 200 peserta atau 50 buah kenderaan pacuan empat roda (4x4). Peserta berkonvoi bermula dari Sri Pentas TV3, Bandar Utama menuju ke Tasik Kenyir untuk menyertai pertandingan memancing bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM10,000. Dalam siri pertandingan ini juga, ikan arapaima gigas gagal dinaikkan mana-mana peserta bagi membolot hadiah khas bernilai RM20,000.

No comments: